mutakhir

Belia terjejas akibat pandemik Covid-19 disaran ceburi sukarelawan [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Golongan belia di negara ini yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disaran menceburkan diri dalam bidang kesukarelawan.

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Datuk Wasitah Mohd Yusof berkata, pertubuhan sukarelawan Sokongan Vaksin Malaysia (MyVac) kendalian Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN), antara yang pertubuhan yang mampu membantu golongan itu.

"Sehingga 19 Ogos lalu, terdapat 311,241 individu yang rata-ratanya terdiri daripada golongan belia di negara ini sudah pun melakukan pendaftaran (MyVac) menerusi sistem yang disediakan menerusi media sosial JBSN.

"Daripada jumlah itu pula, seramai 8,056 sukarelawan sudah pun memulakan tugasan mereka di 409 PPV seluruh negara dan 13,376 orang lagi sedang dalam keadaan siap sedia untuk diminta bertugas di PPV yang diminta serta ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas melakukan lawatan dan tinjauan sempena Program MyVac Dihatiku@Rakan Muda anjuran, di sini hari ini.

Ditanya mengenai kewajaran agar elaun sukarelawan MyVac perlu ditambah sama seperti sukarelawan kesihatan KKM, beliau tidak dapat memberi komen lanjut mengenai perkara itu.

"Namun, kita melihat pertambahan (elaun diterima sukarelawan KKM) itu juga memberi faedah kepada sukarelawan khidmat sokongan seperti sukarelawan MyVac ini yang sebelum ini menerima elaun ditetapkan RM50 sahaja dan ia bermanfaat untuk mereka.

"Oleh hal demikian, kami juga sudah memberi kelulusan untuk memberi mereka (sukarelawan) elaun sebanyak RM100, bukan dalam konteks pertambahan elaun tetapi tempoh pekerjaan," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2021 @ 5:22pm
d