rap

Istiqamah menuju hidup baharu

Oleh Najiy Jefri

Siapa sangka, sejak Aidilfitri lalu pelakon Oktovia Manrose mengambil keputusan untuk bertudung sepenuhnya.

Mengakui sengaja merahsiakan penghijrahan yang dibuat, kakak pelakon Aprena Manrose itu memilih untuk tidak berkongsi berita itu kepada umum sebelum ini.

"Saya segan dan tidak terlalu terbuka berkongsi soal penghijrahan. Saya lakukannya kerana Allah SWT.

"Ya, benar saya sudah bertudung. Cukup komen ringkas ini selebihnya saya harap terus istiqamah dalam menuju perjalanan kehidupan baharu ini," katanya.

Biarpun keputusan yang dibuat ini tidak mudah, lebih-lebih lagi bergelar pelakon, Oktovia bagaimanapun, menjelaskan segala tuntutan kerjaya seni sudah diselesaikan sebelum tekad bertudung.

"Semua tugasan lakonan sudah diselesaikan. Jadi, saya tiada 'berhutang' lakonan lagi. Kalau ada rezeki berlakon, saya terpaksa menangguhkan keinginan ini. Saya percaya rezeki Allah itu luas.

"Saya ingin fokus dalam beribadah dan mencari keredaan Allah. Saya mahu memberi tumpuan memperbetulkan diri sendiri. Soal kehidupan dunia akan datang kemudian hari," katanya.

Bagi pemilik nama sebenar Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman itu, dia bertekad mahu melayari kehidupan menjadi Oktovia baharu.

"Kalau ada rezeki lakonan selepas ini, saya akan mempertimbang watak bersesuaian dengan imej yang dibawa.

"Saya cuma mengharapkan doa daripada semua semoga semuanya dipermudahkan," katanya.

Dalam pada itu, Oktovia memberitahu kali terakhir dia terikat dengan komitmen kerja adalah menerusi drama Hari Kita Jatuh Cinta terbitan Zeel Production untuk siaran Awesome TV.

Malah, dia sempat mencabar diri membuktikan bakat dalam bidang nyanyian selepas lapan tahun membabitkan diri sebagai anak seni berkolaborasi dengan kumpulan Bimasakti menerusi projek Biar Aku Simpan terbitan syarikat rakaman, Life Records.

Disiarkan pada: August 30, 2021 @ 6:22am
d