mutakhir

Bayi lelaki ditemukan dalam beg kitar semula

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam beg plastik di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan pada 9.15 pagi.

"Kami menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki warga tempatan memaklumkan menemui seorang bayi lelaki yang masih hidup di hadapan rumah berkenaan.

"Siasatan awal mendapati bayi lelaki berkenaan dipercayai baru dilahirkan dalam keadaan cukup sifat dan diletakkan di dalam plastik di hadapan rumah terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini.

Basri berkata, pihaknya turut membuat semakan dengan pemilik rumah berkenaan dan bayi itu dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau tampil ke balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: September 2, 2021 @ 3:43pm
d