mutakhir

Fenomena kepala air berlaku lagi di Titi Hayun

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Yan: Fenomena kepala air dilapor berlaku di Titi Hayun, hari ini, berikutan hujan lebat menyebabkan arus deras dan limpahan air di kawasan sekitarnya, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bagaimanapun kejadian kepala air itu tidak seteruk tragedi yang berlaku pada 18 Ogos lalu.

Beliau berkata, setakat ini anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak masih melakukan pemantauan di kawasan itu sejak 11.15 pagi.

"Setakat ini keadaan air masih terkawal dan kami turut memberi peringatan kepada penduduk di kawasan sekitar agar berhati-hati.

"Seramai enam anggota dan pegawai dari BBP Guar Chempedak berada di lokasi bagi melakukan pemantauan setiap empat jam terutama di kawasan berisiko," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, fenomena kepala air berlaku di kawasan kaki Gunung Jerai membabitkan Titi Hayun dan Batu Hampar menyebabkan enam mangsa meninggal dunia akibat dibawa arus deras.

Kejadian itu menyebabkan beberapa kampung di kawasan berhampiran ditenggelami banjir lumpur termasuk di kawasan Merbok di Kuala Muda.

Disiarkan pada: September 2, 2021 @ 4:34pm
d