mutakhir

Mangsa banjir di Kedah dikecualikan yuran gantian jika LKM dan LMM hilang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Putrajaya: Mangsa banjir di Yan dan Merbok, Kedah baru-baru ini yang kehilangan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dikecualikan daripada membayar yuran gantian bagi dokumen berkenaan yang hilang atau rosak.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kelonggaran itu sudah dimaklumkan kepada cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kawasan berkenaan.

"Kami simpati terhadap mangsa banjir di Yan dan Merbok. Disebabkan itu, pihak pengurusan Kementerian Pengangkutan bersetuju memberi pengecualian bayaran gantian kepada mangsa banjir berkenaan.

"Mangsa banjir yang mahu membuat gantian perlu mengemukakan laporan polis berkaitan kehilangan atau kerosakan dokumen itu sebelum membuat penggantian LKM dan LMM," katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, tragedi kepala air dan banjir lumpur melanda Yan, Gurun dan Merbok menyebabkan banyak kerosakan selain menjejaskan kawasan perkampungan terutama di Kampung Setol, Kampung Acheh dan Kampung Permatang Keramat.

Disiarkan pada: September 3, 2021 @ 11:45am
d