mutakhir

Budak OKU pakai baju-T BoBoiBoy, hilang

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Gopeng: Kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di rumahnya di Lorong Jaya Taman Kinta Baru di sini, semalam, kali terakhir memakai baju-T BoBoiBoy berwarna hijau dan memakai lampin pakai buang.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pihaknya polis menerima panggilan daripada bapa mangsa Abdul Wahid Shah memaklumkan berhubung kehilangan anaknya, Muhammad Fayyadh Ukasyah.

"Selepas dimaklumkan, tindakan mencari mangsa dijalankan oleh pihak polis dengan dibantu bomba di sekitar tempat kejadian tetapi tiada petunjuk dan menemui mangsa terbabit.

"Hasil temu bual ibu mangsa, Nur Shamimi Abdul Malek menyatakan pada 6.30 petang dia menyedari anaknya itu tiada di ruang tamu rumah sebelum terus mencari di taman hadapan terletak kira-kira 50 meter dari rumah, namun gagal dijumpai selepas hampir 10 minit mencari," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasron Nazri berkata, ibu mangsa kemudian balik ke rumah dan meminta bantuan daripada jirannya untuk mencari pula di sekitar Taman Kinta Baru selama kira-kira 10 minit, tetapi tetap gagal menemui mangsa.

Menurutnya, ibu mangsa kemudiannya menghubungi suaminya untuk memaklumkan berhubung tentang kehilangan anak mereka.

"Bapanya mangsa kemudian tiba di rumah dan mereka memaklumkan kepada jiran tetangga berkaitan kehilangan anak mereka melalui aplikasi WhatsApp," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati pintu depan rumah dan pintu pagar terbuka tidak berkunci semasa kejadian.

"Mangsa adalah seorang OKU (Autisme) iaitu mengalami masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap serta anak kedua daripada lima beradik," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2021 @ 8:55am
d