Permotoran

Damok raih tempat ke-13, kutip tiga mata

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pelumba berbakat negara Syarifuddin Azman berjaya memberikan tiga mata berharga buat pasukan Petronas Sprinta Racing apabila menamatkan perlumbaan Kejuaraan Dunia kelas Moto3 di Grand Prix (GP) Aragon di tempat ke-13, sebentar tadi.

Dia yang mengambil alih tempat John McPhee ketinggalan 9.645 saat kepada juara Dennis Foggia yang merekodkan 37 minit 53.710s.

Manakala tempat kedua dan ketika masing-masing milik pelumba Red Bull KTM Tech 3, Deniz Oncu (0.027) dan Ayumu Sasaki (0.346). Pastinya ia pengalaman berharga buat Syarifuddin atau dikenali dengan Damok itu pada penampilan pertamanya di pentas MotoGp.

Ia menambah rekod kejayaannya yang sebelum ini muncul juara FIM CEV Junior di Barcelona Jun lalu.

Sementara itu rakan pasukan Darryn Binder menamatkan saingan di kedudukan ketujuh meraih sembilan mata dengan Petronas SRT kini berkedudukan tempat kelapan dengan 131 mata.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kerana memberi saya peluang terbaik seperti ini," katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2021 @ 6:52pm
d