mutakhir

7 warga asing didenda kes guna kad pengenalan palsu

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Tujuh warga asing yang bekerja di sebuah kilang tekstil dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam di sini, hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

Lelaki warga negara Filipina iaitu Ridhwan Likung, 26, tiga wanita warga negara Filipina iaitu Nurmina Kipli, 45, Nona Najuk, 45, Masriyah Ismail, 40, dan tiga wanita warga negara Indonesia iaitu Sundari Mahmudi, 29, Salina Husin, 48, serta Mulyani, 47, mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mereka didenda RM3,000 hingga RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 petang, 14 September lalu di sebuah kilang tekstil di Seksyen 26, Taman Perindustrian Hicom di sini.

Mereka, tanpa kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan palsu serta salinan pelbagai individu sebagai dokumen pengenalan diri untuk bekerja.

Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1) (e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkarnain Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: September 15, 2021 @ 2:20pm
d