Bola Sepak

Napoli kekal tanpa kalah

Oleh AFP

Milan: Napoli melonjak ke tangga teratas Serie A selepas menang 4-0 di Udinese untuk kekal tanpa kalah pada kempen awal musim ini.

Jaringan Victor Osimhen, Amir Rrahmani, Kalidou Koulibaly dan Hirving Lozano membolehkan skuad Luciano Spalletti berpesta gol di Dacia Arena sekali gus meraih 12 mata penuh daripada empat perlawanan, dua mata mengatasi Inter Milan dan AC Milan yang menduduki tangga kedua dan ketiga.

Roma satu mata di belakang bersama Fiorentina dan Napoli pasukan tunggal menang kesemua perlawanan setakat ini dalam liga utama Itali.

Udinese yang tewas kali pertama musim ini menduduki tempat ketujuh, sama mata dengan Lazio, Atalanta dan Bologna manakala Napoli memberi amaran awal untuk muncul pencabar gelaran liga.

"Ia tidak bermakna sama sekali. Kami tahu kami beraksi sangat baik di venue yang sukar. Kami perlu terus bekerja keras dan konsisten. Tidak mudah ke Udine dan menang 4-0," kata Insigne kepada DAZN.

Disiarkan pada: September 21, 2021 @ 7:36am
d