mutakhir

Tragedi mandi di Sungai Balak

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Hulu Selangor: Kegembiraan lima sekawan mandi di Sungai Balak di Batang Kali, di sini, bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka dikhuatiri lemas, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa dikenali sebagai Ashraff Shaari, 23, masih belum ditemui setakat ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.30 petang sebelum pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dihantar ke lokasi.

"Setakat ini gerakan mencari dan menyelamatkan mangsa masih diteruskan di kawasan sungai berkenaan.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) juga sudah dihantar ke lokasi kejadian untuk menyelam bagi mengesan mangsa di dasar sungai," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 7:13pm
d