mutakhir

'Penunggu maut' dalam tempayan [METROTV]

Oleh Nazri Abu Bakar

Alor Gajah: "Saya tidak menyangka ular tedung selar sepanjang tiga meter itu menyorok di dalam tempayan selepas anak saya cuba menjejakinya," ujar tukang rumah Mohd Hazhar Mohd Hasnan, 44,

Dalam kejadian jam 3.45 petang semalam, ular berbisa seberat enam kilogram itu dikesan bersembunyi di dalam tempayan di rumah mangsa di Kampung Parit Melana di sini.

Menurutnya, anak lelakinya berusia 15 tahun mulanya menyangkakan ada monyet yang mahu mencuri telur ayam sebelum bergegas keluar untuk menghalau haiwan itu sebelum terlihat tedung selar.

Mohd Hazhar berkata, ketika itu dia sedang bekerja tidak jauh dari rumah sebelum anak keduanya itu memaklumkan kehadiran reptilia berbisa itu.

"Saya bergegas pulang kerana risaukan keselamatan keluarga. Walaupun sebelum ini pernah menangkap ular apabila ada penduduk minta tolong tetapi melihat saiznya yang besar saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meminta bantuan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.59 petang sebelum sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba di lokasi kami mendapati ular tedung selar itu bersembunyi di dalam tempayan. Dengan menggunakan alatan penjerut ular, APM mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum berjaya menangkap ular berbisa itu," katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2021 @ 4:25pm
d