mutakhir

Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dibuka untuk kenderaan ringan hari ini

Oleh BERNAMA

Ipoh: Jabatan Kerja Raya (JKR) membuka satu jalan lencongan di lokasi kejadian runtuhan jalan di Laluan Persekutuan FT185 Seksyen 43.95, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menghala ke Cameron Highlands, bermula hari ini.

Jabatan itu menerusi satu kenyataan berkata bagaimanapun laluan tersebut yang dibuka sejak pukul 8 pagi tadi hanya untuk kenderaan ringan tidak melebihi lima tan.

"Jalan lencongan sepanjang 450 meter itu tidak boleh dilalui kenderaan berat. Pemandu kenderaan berat dinasihatkan menggunakan laluan alternatif FT96 Jalan Tapah-Cameron Highlands sehingga ke satu tarikh dimaklumkan kelak," menurut kenyataan itu.

Katanya, pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi pandu arah lencongan jalan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, JKR sedang giat melaksanakan kerja-kerja kawalan dan pembaikan cerun runtuh di kawasan berkenaan demi memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya pada masa hadapan.

Pada 18 September lalu, kejadian runtuhan jalan yang berlaku kira-kira 5.45 petang berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jalan Raya Simpang Pulai, membabitkan runtuhan sepanjang kira-kira 30 meter apabila hujan berterusan mengakibatkan struktur tanah lemah dan tidak kukuh.

Disiarkan pada: September 24, 2021 @ 2:48pm
d