mutakhir

37,144 remaja di Johor terima vaksin

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Seramai 37,144 remaja sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Johor bermula Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, sehingga semalam, seramai 1,892 remaja sudah mendapat suntikan vaksin lengkap.

Katanya, setakat ini seramai 304,695 daripada anggaran 359,900 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

"Sehingga semalam, seramai 37,144 orang iaitu kira-kira 10.3 peratus remaja berusia bawah 18 tahun di Johor menerima dos pertama, manakala seramai 1,892 bersamaan 0.5 peratus mendapat suntikan vaksin lengkap.

"Pelaksanaan pemberian vaksin bagi PICK Remaja ini menerusi janji temu di aplikasi MySejahtera, vaksinasi berjadual dan vaksinasi secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, janji temu menerusi MySejahtera disasarkan kepada pelajar berasrama penuh, sekolah pendidikan khas berasrama dan sekolah harian.

Katanya, bagi vaksinasi berjadual pula, ia membabitkan pelajar sekolah harian, sekolah pendidikan khas harian dan sekolah antarabangsa.

"Bagi yang secara walk-in, ia disasarkan kepada remaja di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Swasta (IPTS) dan remaja yang tidak bersekolah, mereka boleh hadir ke mana-mana PPV yang ditetapkan di 10 daerah negeri ini bersama ibu bapa atau penjaga," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2021 @ 4:38pm
d