mutakhir

Lelaki melecur rumah terbakar

Oleh Melvin Joni

Kuching: Seorang lelaki berusia 40 tahun melecur 30 peratus di perut, tangan dan kaki ketika terjun dari tingkap bagi menyelamatkan diri daripada kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Kampung Tabuan Hj Drahman, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan dan BBP Padungan ke lokasi.

"Mangsa yang melecur diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

"Pasukan bomba turut menjumpai sejumlah wang tunai yang tidak terbakar dan menyerahkan semula kepada pemiliknya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua rumah itu musnah 100 peratus.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihaknya.

Disiarkan pada: September 28, 2021 @ 5:44pm
d