mutakhir

Hanya sijil vaksinasi di aplikasi MySejahtera saja diterima

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Hanya sijil vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera saja yang diterima sebagai pembuktian seseorang itu lengkap menerima dua dos vaksin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, individu yang mencetak sijil vaksinasi sebagai bukti tidak akan diterima.

Menurutnya, ini bagi memastikan sijil vaksinasi lengkap itu tulen tanpa ada sebarang penipuan.

"Pengeluaran sijil vaksinasi hanya dikeluarkan dalam aplikasi MySejahtera akan diterima.

"Mereka yang mencetak sijil secara fizikal pula tidak akan diterima dan kementerian juga ada menerima kes pemalsuan sijil vaksinasi.

"Laporan polis juga sudah dibuat untuk membolehkan siasatan lanjut dibuat bagi kes pemalsuan sijil vaksinasi," katanya dalam Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Ahmad Maslan (BN- Pontian) yang mahu tahu apakah tindakan kerajaan terhadap tindakan pemalsuan sijil vaksinasi.

Dalam sesi sama juga, Dr Adham berkata, kerajaan akan terus menjalankan aktiviti advokasi dan penerangan lanjut terhadap kumpulan anti vaksin.

Menurutnya, kumpulan ini akan didekati secara berterusan bagi memberikan penerangan terhadap keberkesanan dan kualiti vaksin yang digunakan kerajaan untuk mencegah Covid-19.

Disiarkan pada: September 30, 2021 @ 12:36pm
d