mutakhir

Penduduk dikejutkan dengan banjir merah

Oleh Mohamed Farid Noh dan Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Banjir merah yang melanda Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi, awal pagi tadi, dipercayai berpunca dari sebuah kilang elektronik berhampiran yang sudah tidak beroperasi sejak setahun lalu.

Penduduk, Azmi Misri, 54, berkata banjir merah melanda selepas hujan lebat lebih tiga jam awal pagi tadi, adalah kejadian pertama yang berlaku.

Bekas Ketua Kampung Pasir itu berkata, ia menimbulkan kebimbangan penduduk apabila banjir kilat itu berbau seperti minyak selain anggota badan menjadi gatal.

"Banjir kilat memang sering melanda kawasan ini apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang, namun banjir merah pagi tadi tidak pernah berlaku.

"Saya dan penduduk di sini, percaya banjir merah ini berpunca dari kilang elektronik berhampiran yang setahun sudah tidak beroperasi, berikutan bau minyak yang kuat dipercayai dari mesin dan bahan yang ditinggalkan di situ.

"Bagaimanapun penduduk berharap perkara ini disiasat pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kepada kesihatan penduduk.

"Kawasan Kampung Seri Jaya Baru kerap berlaku banjir kilat apabila hujan lebat bertembung air Sungai Skudai yang pasang. Ia berikutan tiga pam yang sepatutnya mengepam limpahan air di tali air serta anak sungai ketika hujan lebat, yang terletak di kampung ini difahamkan sudah rosak dan tidak dapat berfungsi menyebabkan kerap berlaku banjir kilat," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas , Mohd Yazid Abdul Rahman, berkata, air banjir kilat awal pagi tadi naik hingga ke paras satu meter surut dalam kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir bewarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

Bagaimanapun air banjir berkenaan tidak membawa kemudaratan kepada penduduk kampung.

"Pada awalnya kami bimbang air banjir itu boleh membawa kemudaratan terutama dalam kalangan penduduk kampung warga emas dan kanak-kanak.

"Namun air merah itu surut dalam tempoh beberapa jam dan tiada masalah lain yang timbul.

"Penduduk berkenaan juga tidak dipindahkan ke kawasan lain dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Bagaimanapun, bomba tidak dapat mengenalpasti punca warna air banjir itu.

Disiarkan pada: September 30, 2021 @ 1:59pm
d