xpresi

Saksi 'geiser' depan mata

Oleh Syahril Uzair Sahmi Hameed

Iceland atau Islandia di Eropah antara destinasi terbaik untuk menyaksikan fenomena Aurora Borealis.

Fenomena cahaya berwarna-warni pada sebelah malam itu terhasil akibat pertembungan medan magnet bumi (kutub utara-selatan) dengan cas zarah dipancarkan matahari di lapisan ionosfera (tingkat tiga lapisan atmosfera).

Wajarlah pulau kecil di utara Laut Atlantik itu menjadi sebab utama berada dalam senarai 'bucket list' pengembara atau pelancong serata dunia.

Tambahan pula, populariti Iceland mencanak apabila adegan lagu 'Gerua' yang menampilkan bintang Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan bersama heroin, Kajol Devgan turut memaparkan pemandangan unik di serata pulau itu.

Lokasi pemandangan berkenaan antara pengisian tempat pengembaraan penulis bersama seorang teman selama enam hari pada awal November 2018.

Perjalanan kami bermula dengan penerbangan tambang murah Easyjet dari Lapangan Terbang Luton, London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Keflavik mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit.

Selepas urusan di terminal, kami terus memandu kereta sewa ke Reykjavik, ibu negara Iceland. Untuk pengetahuan umum, lesen memandu Malaysia boleh digunakan di sini.

Bagi penulis, memandu adalah kaedah terbaik menjelajah Iceland kerana lebih bebas tanpa terikat dengan jadual pemandu pelancong selain memberi pengalaman menarik kerana pemanduan sebelah kiri.

Ketika tiba, untuk mendaftar masuk ke tempat penginapan iaitu Reykjavik Downtown City HI Hotel jam sudah menunjuk ke angka 9 malam dan kami menikmati hari pertama dengan sekadar makan malam dan berehat sahaja.

Seolah-olah mengalu-alukan kehadiran kami, hari kedua pengembaraan bermula dengan salji pertama yang turun untuk musim sejuk tahun berkenaan.

Kami memilih perjalanan The Golden Circle iaitu merujuk laluan menyusuri satu lingkaran besar yang ada beberapa perhentian menjadi lokasi tarikan unik di Iceland.

Paling menonjol pada pengembaraan hari kedua ialah kawasan Geoterma Haukadalur yang menempatkan Geysir dan Strokkur. Sebenarnya perkataan 'geiser' yang ada dalam kamus hari ini diambil daripada nama tempat terbabit apabila berlakunya fenomena mata air panas terpancut ke udara dengan deras disusuli wap.

Namun fenomena itu sudah kurang aktif di Geysir berbanding di Strokkur yang meletus setiap 10 atau 15 minit setiap hari. Penulis berasa takjub apabila menyaksikan geiser sendiri di depan mata. Selain lokasi itu kami turut singgah ke Taman Negara Thingvellir dan Air Terjun Gulfoss.

Hari ketiga di Iceland nasib kami kurang baik kerana amaran kuning dikeluarkan untuk seluruh pulau itu berikutan cuaca dijangka ribut kencang dan hujan.

Memikirkan faktor keselamatan terutama kami pelancong luar yang memandu sendiri berasa lebih selamat untuk berada di tempat penginapan. Kami memantau situasi semasa iaitu ramalan cuaca dan informasi keadaan jalan raya menerusi en.vedur.is dan road.is.

Hari keempat kami bergerak awal sekitar jam 9 pagi ketika matahari baru terbit ketika itu dengan meneruskan perjalanan ke sebelah Pantai Selatan dan Pantai Diamond sejauh 300 kilometer.

Meskipun mengharungi perjalanan jauh dan kepenatan memandu, kami berasa puas dapat menikmati keindahan semula jadi yang ada. Sebagai contoh Pantai Diamond, boleh lihat ketulan ais bertaburan di pantai hitam seolah-olah ia butiran berlian.

Pada hari berkenaan juga kami tidak melepaskan peluang meninjau air terjun Seljalandsfoss iaitu lokasi video klip lagu Gerua. Asyiknya apabila menikmati pemandangan sekitar air terjun itu sambil mendengar lagu terbabit.

Hari kelima yang juga hari terakhir kami menjelajah Iceland kerana perlu pulang ke London pada keesokannya. Kami menikmati detik itu untuk berada di Lagun Biru, satu-satunya tempat buatan manusia di pulau berkenaan.

Mulanya saya agak skeptikal kerana aktiviti mandi dalam air panas mengenakan bayaran tiket mencecah lebih RM300 dirasakan agak keterlaluan. Tetapi sebaik mencuba aktiviti mandi di kolam terbuka terbabit dengan air suhu sekitar 39 darjah Celsius ketika musim sejuk, ia antara pengalaman terbaik percutian di Iceland.

Perkongsian akhir pastinya tip ikhtiar hidup iaitu makan dan minum kami sepanjang pengembaraan di sini. Memikirkan harga makanan mahal dan kesukaran untuk temui yang halal, kami persiapkan pek makanan segera dari Malaysia.

Ini alternatif terbaik bukan saja dapat berjimat malah lebih selesa dan tidak ragu-ragu untuk nikmati sajian sepanjang perjalanan.

Disiarkan pada: October 3, 2021 @ 7:00am
d