mutakhir

Pesakit Covid-19 terperangkap ketika mahu larikan diri

Oleh Juwan Riduan

Keningau: Tindakan seorang pesakit Covid-19 yang cuba melarikan diri dari Hospital Keningau di sini, bertukar cemas apabila dia terperangkap di tingkat satu bangunan berkenaan, pagi tadi.

Dalam kejadian 6 pagi itu, wanita berusia 24 tahun itu diselamatkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Difahamkan, wanita terbabit dimasukkan di wad Hospital Keningau sejak semalam.

Ketua BBP Keningau, Sharudy Delamin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.19 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati terperangkap di tingkat satu di bahagian luar bangunan Hospital Keningau.

"Pasukan bomba yang lengkap memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) kemudiannya menjalankan operasi menyelamat menggunakan tangga untuk membawa mangsa turun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dibawa turun sebelum diserahkan kepada pihak hospital dan polis untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: October 3, 2021 @ 9:25am
d