mutakhir

PDRM mahu bantu anggota, pesara banyak hutang [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti untuk membantu anggota serta pesaranya yang memiliki hutang tinggi sehingga menjejaskan tugas serta kehidupan mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, langkah membantu anggota dan pesara polis yang terhimpit dengan hutang itu penting bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam masalah lebih besar.

Katanya, bantuan hanya akan diberikan kepada anggota dan pesara yang terdesak akibat mempunyai hutang 'sahih' dan bukan hutang atas perkara tidak sewajarnya.

"Bantuan untuk anggota dan pesara yang mempunyai hutang tinggi ini membabitkan dua golongan iaitu pesara dan anggota asnaf (yang masih bertugas).

"Selalunya anggota asnaf ini mempunyai gaji rendah dan mempunyai hutang yang tinggi. Sebagai contohnya anak mahu pergi belajar dan anggota atau pesara terpaksa berhutang atau berlaku musibah seperti sakit perlu berhutang.

"Langkah untuk membantu mereka ini diambil ini bukan sahaja untuk menjaga kebajikan anggota dan pesara, malah memastikan tidak menjejaskan tugas selain tidak melakukan perkara yang tidak sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyerahan Sumbangan kepada Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali; Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, bantuan terhadap anggota dan pesara polis itu akan dilaksanakan dengan teliti dan mengambil kira faktor penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan ramai terjejas.

"Kita kena perhalusi betul-betul bantuan kepada golongan ini sebab tidak mahu membantu mereka yang tidak sepatutnya. Ini kerana ada yang kita dapati berhutang pada perkara tidak sepatutnya contohnya beli kereta mewah, sedangkan ia tidak perlu.

"Sebaliknya kita akan membantu anggota dan pesara polis yang mempunyai gaji dan pencen kecil dan apabila mereka ada hutang tinggi, kehidupan makin terhimpit sehingga hendak makan pun susah," katanya.

Terdahulu, Mazlan menyampaikan sumbangan kebajikan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWF) kepada 20 pesara bagi polis kontinjen Johor.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, sejumlah 887 pesara asnaf telah menerima sumbangan TAWF membabitkan RM1.59 juta antara Januari hingga Mei lalu," katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2021 @ 1:38pm
d