utama

Guru positif Covid-19, dua sekolah tangguh pembukaan

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Dua sekolah di Sarawak ditangguhkan pembukaan sesi pembelajaran hari ini berikutan guru dikesan positif Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, penangguhan itu membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trusan dan SMK Merapok, kedua-duanya dalam daerah Lawas.

Beliau berkata, hasil ujian yang dijalankan beberapa hari lalu, seorang guru di SMK Trusan dan dua di SMK Merapok disahkan dijangkiti wabak itu.

"Kementerian Pendidikan mengambil langkah keselamatan yang tegas bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pembukaan sesi pembelajaran di sekolah.

"KKM mengeluarkan notis mengarahkan supaya dua sekolah itu ditutup sementara sehingga 6 Oktober," katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Taman Matang Jaya, di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu meninjau hari pertama sesi persekolahan bersemuka SMK St Thomas dan Sekolah Pendidikan Khas Taman Matang Jaya.

Mohamad berkata, hasil tinjauan di dua sekolah terbabit, beliau berpuas hati dengan kehadiran pelajar walaupun jumlahnya tidak mencapai 100 peratus.

"Tinjauan di SMK St Thomas mendapati 86.2 peratus daripada 111 pelajar Tingkatan 6 hadir hari ini manakala di Sekolah Pendidikan Khas pula sebanyak 69 peratus daripada 89 pelajar.

"Saya difahamkan mereka yang tidak hadir kerana kontak rapat dengan pesakit Covid-19, baru selesai menjalani kuarantin malah ada yang masih mencari 'mood' untuk turun ke sekolah selepas sekian lama tidak bersekolah," katanya.

Beliau turut merayu agar ibu bapa membenarkan anak-anak mereka bersekolah dan memberi jaminan persekitaran sekolah adalah selamat daripada wabak Covid-19.

"Keselamatan pelajar adalah keutamaan kami dan langkah-langkah awal sentiasa kami ambil untuk membendung penularan," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2021 @ 11:18am
d