mutakhir

Johor dan Pahang beralih fasa PPN

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 semalam bersetuju membenarkan peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Johor dan Pahang berkuatkuasa Jumaat ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Johor akan beralih dari Fasa 2 ke Fasa 3 manakala Pahang dari Fasa 3 ke Fasa 4.

Menurutnya, peralihan fasa ini dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh PPN dan setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini.

"Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 turut bersetuju untuk membenarkan beberapa lagi kelonggaran baharu berkuatkuasa Sabtu ini.

"Waktu beroperasi pasar borong di Fasa 2 dan Fasa 3 dibenarkan mengikut syarat lesen dan permit pihak berkuasa tempatan seperti mana yang ditetapkan dengan syarat pekerja divaksin lengkap dan mematuhi SOP sedia ada.

"Pelaksanaan Upacara Mengikat Thaali di rumah ibadat kuil bagi agama Hindu dan Pernikahan Kudus (Holy Matrimony) bagi agama Kristian dibenarkan dalam tempoh PPN di mana Kementerian Perpaduan akan memaklumkan kepada Persatuan Agama Hindu dan Persatuan Agama Kristian berhubung SOP yang perlu dipatuhi," katanya.

Beliau berkata, pengoperasian aktiviti lelongan awam bagi barangan sandaran di bawah sektor pajak gadai yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dibenarkan berdasarkan syarat.

"Syarat itu adalah pekerja dan pembida lengkap divaksin dan hanya melibatkan 54 pelelong yang dikenal pasti di seluruh negara.

"Terhad kepada 30 minit per sesi pada 1 dan 7 haribulan setiap bulan," katanya.

Menurutnya, kapasiti pekerja adalah berdasarkan fasa iaitu Fasa 2 membabitkan 60 peratus kapasiti pekerja dan 50 pembida.

"Fasa 3 membabitkan 80 peratus kapasiti pekerja dan 80 peratus pembida manakala Fasa 4 membabitkan 100 peratus kapasiti pekerja dan pembida.

"Sektor tembakau dan rantaiannya dibenarkan untuk beroperasi di Fasa 2 dan seterusnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 6, 2021 @ 8:06pm
    d