mutakhir

75,000 pelajar di Selangor akan divaksin [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Selangor akan meluaskan pelaksanan Program Vaksin Selangor (SelVAX) dengan pemberian 150,000 dos vaksin Sinovac kepada pelajar atau remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi SelVAX Remaja itu, pihaknya menyasarkan pemberian vaksin kepada pelajar sekolah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) termasuk Maahad Intergrasi Tahfiz Selangor (MITS) dan Sekolah Rendah Agama Intergrasi (SRAI) serta Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti JAIS, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS); Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) serta Pejabat Dewan Undangan Negeri (DU) bagi memastikan kelancaran program ini.

"Perkara ini juga sudah dibawa oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dalam Mesyuarat Jawatankuasa Vaksinasi Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan pada Selasa lalu serta mendapat kelulusan untuk pelaksanaannya.

"Dengan pertambahan 150,000 dos vaksin ini, ia akan melengkapkan sasaran kita untuk SelVAX Komuniti secara percuma kepada rakyat Selangor membabitkan anggaran 500,000 dos secara keseluruhan," katanya pada sidang media khas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata dianggarkan 75,000 pelajar akan menerima vaksin berkenaan dan kini perbincangan sedang dilakukan untuk memastikan ia tidak bersilang dengan program yang dilaksanakan di peringkat pusat.

Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan adalah dengan mengambil pendekatan ke sekolah supaya sasaran dapat dicapai dengan cepat serta tiada pelajar yang tertinggal dari mendapat suntikan vaksin.

"Jadual pelaksanaan termasuk jumlah sekolah serta pelajar yang akan terbabit akan diputuskan dalam tempoh seminggu ini.

"Bagi SelVAX bergerak pula, kita masih mempunyai baki sebanyak 12,000 dos dan pelaksanaannya akan diteruskan ke beberapa lokaliti lagi," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan bahawa tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap penjawat awam negeri yang secara sengaja tidak mahu menerima vaksin.

"Semalam, Penasihat Undang-Undang memberi nasihat serta taklimat mengenai perkara ini dan bentuk tindakan akan ditentukan oleh pihak jawatankuasa (Penasihat Undang-Undang negeri)," katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2021 @ 3:39pm
d