bisnes

Komitmen jitu Aeon

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Bersempena ulang tahun ke-37, Aeon Co (M) Berhad meneruskan usaha membantu serta menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta mengukuhkan ekosistem keseluruhan rantaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aeon, Shafie Shamsuddin berkata, pemerkasaan ekosistem rantai bekalan adalah fokus utama kumpulan bagi membolehkan lebih banyak PMKS mendapat keuntungan dan pada masa mempelbagaikan tawaran produk Aeon.

"Aeon merangka pelbagai inisiatif sokongan seperti Aeon Prihatin iaitu program pembangunan dan sokongan komuniti yang dijalankan dengan menawarkan platform perniagaan kepada PMKS mengembangkan perniagaan bersamanya, Makan@AEON iaitu khidmat penghantaran makanan dengan kerjasama peniaga kecil serta myAEON2go iaitu platform penghantaran barangan dalam talian.

"Melalui Aeon Credit Service (M) Bhd, kami turut memberikan pembiayaan bantuan kewangan kepada PMKS, selain merancang untuk mendapatkan lesen bank digital yang akan membantu mengukuhkan ekosistem terbabit.

"Bank digital Aeon akan memberikan kemudahan pembiayaan lebih segar, menyokong kehendak PMKS yang memerlukan bantuan kewangan," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-37 Aeon di Malaysia yang diadakan di sini, semalam.

Ia dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Shafie berkata, sejak memulakan operasi pertama pada 1985, Aeon kini terus berkembang pesat dan beroperasi di Malaysia melalui lapan anak cabang perniagaan di bawahnya iaitu Aeon Co (M) Bhd, Aeon Big (M) Sdn Bhd, Aeon Credit Service (M) Bhd, Aeon Delight Sdn Bhd, Aeon Fantasy (M) Sdn Bhd, Aeon TopValu (M) Sdn Bhd, Aeon Global Supply Chain Sdn Bhd dan Yayasan Aeon Malaysia.

Katanya, Aeon kini mempunyai sekitar 17,000 pekerja, 4,000 penyewa dan rakan niaga serta lebih dua juta pemegang kad Aeon Member Plus.

Sempena sambutan ulang tahun, Aeon memperkenalkan Kempen 10.10 dari 8 hingga 17 Oktober ini melalui aplikasi myAEON2go bermula jam 10 pagi hingga 8 malam dengan menawarkan diskaun sehingga 10 peratus.

Pelanggan Aeon juga berpeluang menyertai peraduan 'Teka & Menang' dengan mengira sayap yang tertera di lukisan Wan Jamila atau Artjamila dan berpeluang membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM37,000.

Disiarkan pada: October 8, 2021 @ 8:13am
d