mutakhir

Gangguan air di Johor Bahru, Kulai akibat alat pengubah arus elektrik terbakar

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Dua unit alat pengubah arus elektrik di Loji Rawatan Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi terbakar semalam, menyebabkan gangguan bekalan air luar jangka di dua daerah di Johor.

Ranhill SAJ menerusi kenyataan hari ini berkata, lebih 100 kawasan merangkumi penempatan, perindustrian, selain sekolah dan pejabat kerajaan di Johor Bahru serta Kulai terjejas akibat kejadian.

"Ranhill SAJ sedang berusaha bersama-sama pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini bagi memastikan kawasan terjejas menerima bekalan air bersih secara berperingkat.

"Sekiranya kerosakan dapat diperbaiki, bekalan air akan pulih 12 jam selepas itu," katanya.

Menurut kenyataan, setakat jam 12 tengah hari ini, bekalan di Gelang Patah dan Iskandar Puteri dijangka pulih membabitkan 35 kawasan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Azman Jantan berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 2.57 petang semalam.

"Dua belas anggota dikerah ke lokasi. Kira-kira 80 peratus alat pengubah arus elektrik terbakar.

"Punca kejadian masih disiasat," katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2021 @ 1:48pm
d