mutakhir

Urus dilaksanakan dalam masa terdekat bantu B50 terjejas - PM

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) akan dilaksanakan oleh sektor perbankan dalam masa terdekat sebagai usaha membantu peminjam yang berada dalam kumpulan 50 peratus terbawah atau B50.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Urus adalah program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif.

"Ia akan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas yang turut merangkumi peminjam berada dalam kategori isi rumah B40 iaitu mereka yang berpendapatan kasar kurang dari RM5,880 sebulan.

"Kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, dalam tempoh itu, pelanggan dengan pinjaman atau pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

"Program Urus ini sudah dirangka oleh sektor perbankan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

"Butiran selanjutnya mengenai program itu akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata, inisiatif oleh sektor perbankan jelas mencerminkan semangat Keluarga Malaysia dan melengkapkan usaha kerajaan untuk membantu golongan peminjam B50 yang sebelum ini sudah mendapat manfaat dari program moratorium yang diumumkan di bawah pakej-pakej bantuan dan rangsangan kerajaan sejak Mac 2020.

"Kerajaan berharap dengan pendekatan 'whole-of-nation' dan penyatuan usaha seluruh rakyat Malaysia, kita mampu merealisasikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan," katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2021 @ 7:57pm
d