Bola Sepak

Skuad B-23 makin mantap

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara mula menunjukkan perkembangan positif apabila sudah ada keserasian antara pemain dan mampu menterjemahkan setiap arahan diberikan ketika beraksi di atas padang.

Situasi berkenaan berbeza ketika perlawanan persahabatan pertama menentang Negeri Sembilan FC apabila skuad B-23 dilihat agak bergelut untuk mempamerkan aksi mantap sehingga tunduk 1-2 kepada juara Liga Perdana itu.

Pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney berkata, beliau menurunkan barisan pemain berbeza ketika menewaskan Penang FC 2-1 semalam dan anak buahnya makin menunjukkan peningkatan dengan corak permainan lebih kemas.

Beliau berkata, beberapa pemain sudah mula mempamerkan aksi sebenar sekali gus yakin mampu memberi tentangan pada saingan Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia hujung bulan ini.

"Kita menurunkan barisan pemain berbeza berbanding ketika menentang Negeri Sembilan dan hasilnya cukup positif apabila pemain beraksi seperti yang diharapkan.

"Persembahan secara keseluruhan juga sudah meningkat dan diharapkan mereka terus menunjukkan peningkatan apabila beraksi pada perlawanan persahabatan terakhir nanti," katanya.

Skuad B-23 akan bertemu Kedah Darul Aman FC Isnin ini sebelum terbang ke Mongolia, di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Laos, Thailand dan tuan rumah.

Pasukan itu menyasarkan untuk muncul juara kumpulan bagi meraih tiket automatik ke pusingan akhir yang dijadualkan pada tahun depan di Uzbekistan.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 4:25pm
d