mutakhir

Tanah mendap akibat hujan lebat, Jalan Sri Hartamas 1 ditutup [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Laluan kedua-dua arah di Jalan Sri Hartamas 1, dari arah Jalan Dutamas 1 ke arah Pejabat Kementerian Dalam Negeri di sini, ditutup sepenuhnya berikutan berlaku mendapan besar susulan hujan lebat di ibu negara hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sehubungan itu pengguna jalan raya dinasihatkan tidak menggunakan laluan berkenaan.

Menurutnya, kejadian tanah mendap kecil pada mulanya berlaku semalam kira-kira 11.30 malam.

"Pada hari ini, rentetan hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur bermula dari jam 2 petang mengakibatkan kejadian mendapan tanah menjadi lebih besar sehingga menyebabkan dua lorong di Jalan Sri Hartamas 1 ke arah Pejabat Kementerian Dalam Negeri, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur tidak boleh dilalui.

"Pada 7.30 malam kedua-dua arah Jalan Sri Hartamas 1 ditutup sepenuhnya. Dalam kejadian, tiada sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan kenderaan awam dilaporkan.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan tersebut," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: October 20, 2021 @ 10:46pm
d