mutakhir

Guna jari hasil lukisan komik digital

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Muadzam Shah: Siapa sangka dengan hanya menggunakan telefon berjenama Samsung Note 3 keluaran lama, remaja perempuan berusia 15 tahun ini mampu menghasilkan lukisan komik digital seolah-olah 'hidup'.

Lebih mengagumkan lagi, Nur Alia Hairani Raudah hanya menggunakan jari berikutan pen yang rosak sejak setahun yang lalu.

Katanya, selain lukisan komik, dia turut menghasilkan beberapa jenis lukisan lain antaranya adalah 'chibi' dan lukisan lidi.

"Bagi lukisan komik yang memerlukan pelbagai warna dan lebih menyeluruh, saya mengambil masa empat jam untuk menyiapkan pada satu masa.

"Namun, untuk lukisan yang ringkas seperti lukisan lidi, saya dapat menyiapkan dalam masa setengah jam sahaja.

"Kebanyakan komik yang saya hasilkan adalah berdasarkan idea saya sendiri dan sekiranya saya tidak ada ilham untuk melukis, saya lihat apa yang ada di sekeliling saya," katanya ketika dihubungi di Felda Keratong 2, Pahang, hari ini.

Nur Alia Hairani yang juga berkongsi lukisan komik di akaun Instagram miliknya, berkata, dia juga menerima tempahan lukisan digital daripada kawan terdekat dan keluarga yang menyokong hobinya.

Menurutnya, menerusi hobi dan bakat yang dia ada sekarang ini, dia bercita-cita ingin menjadi seorang animator di YouTube suatu hari nanti.

Sementara itu, ibunya, Satina Bakar, 50, berkata, dia menghadiahkan telefon berkenaan selepas melihat minat anaknya yang suka melukis sebelum ini dengan hanya menggunakan kertas dan pen.

"Saya dan adik beradik Nur Alia Hairani yang lain juga kagum dan tak sangka dia berbakat dalam bidang lukisan ini.

"Malah, saya akan terus memberi sokongan walaupun sekiranya dia ingin belajar bidang yang berkaitan dengan animasi di peringkat universiti," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2021 @ 5:54pm
d