mutakhir

Ular sawa tidak sempat baham lembu

Oleh Mohd Rafi Mamat

Temerloh: Seekor ular sawa batik sepanjang tujuh meter dengan berat 150 kilogram berjaya ditangkap di Kampung Paya Luas, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8.15 malam, reptilia dipercayai berusia antara tiga hingga empat tahun itu ditemui di atas jalan berhampiran kandang lembu.

Ketua Operasi APM Temerloh, Mohd Dzul Ain Bahirun berkata, dia bersama tiga anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular berkenaan dengan bantuan penduduk kampung.

"Ular sawa terbabit bertindak agresif sebelum berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan khas.

"Penduduk mendakwa ular sawa itu datang dari kawasan paya menuju ke arah kandang lembu milik seorangg penduduk kampung," katanya di sini, hari ini.

Katanya, ular sawa itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pegawai APM Temerloh, Mohd Ikram Haron berkata, pihaknya merekodkan purata 20 tangkapan ular setiap bulan di daerah ini yang menyaksikan jumlah aduan meningkat ketika musim panas.

"Antara ular yang sering ditangkap ialah sawa, tedung hitam dan selar di mana ular sawa yang ditangkap malam semalam adalah yang terbesar pada tahun ini," katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 3:18pm
d