Badminton

Pei Jing puas selepas tujuh bulan tak beraksi

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun terkandas di suku akhir Terbuka Denmark, pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing yang bergandingan bersama Tan Kian Meng tetap menganggapnya sebagai pencapaian yang cukup baik.

Ia selepas gandingan itu tidak dapat menyertai sebarang kejohanan selama tujuh bulan sebelum ini berikutan pandemik Covid-19.

"Selepas tujuh bulan, saya berasa lega kerana segala-galanya kembali normal. Perasaan kembali beraksi di dalam kejohanan adalah sangat mengujakan.

"Malangnya kami mengakhiri penampilan sehingga ke suku akhir Terbuka Denmark. Apapun, kami masih berbangga dan bersyukur atas peluang yang diperolehi dan banyak lagi ruang untuk memperbaiki prestasi kami.

"Terima kasih kepada semua yang terus memberi sokongan terutamanya rakan gandingan saya, Kian Meng," katanya di Instagram miliknya.

Pada aksi suku akhir, Pei Jing-Kian Meng memberi saingan sengit sebelum tewas kepada pilihan keempat dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-19, 12-21, 14-21 dalam tempoh 58 minit.

Kian Meng-Pei Jing yang menduduki ranking ke-12 dunia, akan mengalihkan tumpuan kepada Terbuka Perancis yang bermula Selasa ini.

Mereka yang diletakkan selaku pilihan kelapan di kejohanan itu, akan bertemu pasangan Denmark, Jeppe Bay-Sara Lundgaard pada pusingan pertama.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 4:54pm
d