mutakhir

Pemandu lori khayal ditahan bersama dadah heroin [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang pemandu lori ditahan selepas didapati positif dadah jenis heroin dan dalam keadaan khayal ketika Operasi Sepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai arah Selatan, di sini, hari ini.

Dalam operasi jam 9 pagi itu, lelaki berusia 40 tahun itu turut menunjukkan paket kecil yang dipercayai heroin di dalam begnya kepada anggota polis sebaik diminta keluar dari kenderaan dipandunya itu selain mengaku ia miliknya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pemandu lori itu diminta berhenti selepas anggota polis yang menyertai operasi berkenaan melihat lori yang dipandunya dalam keadaan tidak stabil dan membahayakan.

Katanya, lelaki berkenaan memandu bersendirian dari Muar dan dalam perjalanan ke Pasir Gudang dan apabila ditahan dia mengaku mengambil dadah jenis heroin selain menunjukkan bungkusan plastik mengandungi dadah berkenaan yang disimpan dalam beg.

"Ujian air kencing dilakukan terhadap lelaki itu juga mendapatinya positif dadah jenis heroin sebelum ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pemandu lori itu dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam operasi sama, Ayob Khan berkata, seorang lagi lelaki yang memandu pacuan empat roda Ford Ranger turut ditahan setelah didapati positif dadah jenis ganja.

Katanya, lelaki itu adalah penghantar barang yang memandu kenderaan milik bapanya.

"Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 pagi ketika dalam perjalanan menghantar ikan hiasan dari Taman Ungku Tun Aminah ke Taman Sri Kluang, Kluang.

"Pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja di dalam beg milik suspek," katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2021 @ 2:21pm
d