Bola Sepak

Chelsea, Arsenal ke suku akhir Piala Liga

Oleh AFP

London: Chelsea memerlukan kemenangan menerusi penentuan penalti buat kali kedua berturut-turut ketika mara ke suku akhir Piala Liga mengatasi Southampton manakala Arsenal menewaskan Leeds, 2-0, pagi ini.

Kepa Arrizabalaga wira Chelsea pada perlawanan itu apabila menyelamatkan gawang daripada dibolosi di hujung aksi untuk menafikan tempat skuad Saints dalam kelompok lapan terakhir ketika perlawanan di Stamford Bridge berakhir 1-1 selepas 90 minit.

Kedua-dua jaringan hadir pada setiap babak ketika Kai Havertz meletakkan Chelsea di depan sebelum Southampton menyamakan kedudukan menerusi Che Adams.

Penjaga gol Sepanyol itu menafikan jaringan penalti daripada Will Smallbone dan Theo Walcott sekalipun Mason Mount gagal menyempurnakan penalti buat Chelsea, Reece James memastikan kelebihan berpihak kepada skuad Blues menerusi kemenangan 4-3.

Dua gol dalam 14 minit di babak kedua oleh Callum Chambers dan Eddie Nketiah memastikan kemaraan Arsenal pada aksi di Emirates.

Mikel Arteta menyenaraikan skuad terkuat pada dua pusingan sebelum ini ketika Gunners tidak terbabit dalam aksi bola sepak Eropah buat pertama kali dalam 25 musim.

Namun pengendali Sepanyol itu melakukan sembilan pertukaran daripada skuad yang menyinar ketika kemenangan ke atas Aston Villa, 3-1, Jumaat lalu.

Dalam satu lagi aksi, Sunderland turut melangkah ke kelompok lapan terakhir selepas mengatasi Queens Park Rangers, 3-1 menerusi penentuan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar perlawanan.

Disiarkan pada: October 27, 2021 @ 8:29am
d