Sukan Lain

Syazwani azam pamer aksi terbaik di Dubai

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemain boling negara, Nur Syazwani Sahar mengakui teruja apabila disenaraikan dalam skuad negara yang akan mengibarkan cabaran di Kejohanan Boling Dunia di Dubai minggu depan.

Menganggap ia sebagai satu cabaran pada penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia itu, pemain berusia 22 tahun itu bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik dan dia yakin inilah masanya untuk dia membuktikan kemampuan yang dimilikinya.

Biarpun tanpa dua pemain senior iaitu Esther Cheah yang mengalami kecederaan dan Sin Li Jane, Syazwani yakin dengan kemampuan skuad wanita negara yang akan diketuai Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman mampu menghadiahkan sesuatu buat negara.

"Saya yakin biarpun kami barisan muda dengan peningkatan dan persediaan yang dilakukan kami dapat buat yang terbaik.

"Inilah masanya untuk saya menyerlah dan menjadi cita-cita saya untuk bergelar juara dunia.

"Biarpun tanpa pemain senior skuad negara masih mempunyai kelebihan dan saya tahu Siti Safiyah dan Natasha Roslan boleh membimbing kami," katanya yang pernah merangkul satu emas dua gangsa di Kejohanan Remaja Dunia di Detroit, Amerika Syarikat pada 2018.

Sementara format baru yang akan diguna pakai pada kejohanan itu mengujakan barisan pemain negara yang berharap dapat memberikan aksi terbaik.

Pendekatan itu memberi satu cabaran baru dengan Kesatuan Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menyasarkan skuad lelaki dapat membawa pulang seperti mana dua tahun lalu manakala tiada sasaran diletakkan buat skuad wanita negara pada kejohanan yang akan berlangsung dari 4 hingga 16 Oktober ini.

Presiden MTBC Datuk Dr P S Nathan pada sidang media di Sunway Mega Lanes berkata, beliau sedar skuad negara tidak menyertai sebarang pertandingan sejak dua tahun lalu namun kesemua mereka berlatih dengan gigih justeru diharapkan mereka akan menghadiahkan pingat.

"Peluang pemain negara untuk bawa pulang pingat tetap ada kerana mereka berlatih bersama jurulatih berpengalaman dan mereka juga melakukan persediaan yang baik.

"Namun begitu saya tahu kebanyakan mereka adalah pemain muda dan perasaan gementar itu tetap ada itu sebab saya tidak letakkan sebarang sasaran tapi yakin mereka boleh membawa pulang pingat," katanya.

Dua tahun lalu skuad lelaki negara menghadiahkan dua emas menerusi Muhamamd Rafiq Ismail dalam acara individu dan Tun Ameerul Luqman Al-Hakim bersama Adrian Ang untuk acara beregu lelaki. Manakala skuad wanita gagal membawa pulang pingat.

Disiarkan pada: October 27, 2021 @ 2:57pm
d