mutakhir

Guna bot sendiri bantu mangsa banjir

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Seorang pemuda sanggup melakukan khidmat secara sukarela dengan membantu penduduk Kampung Alor Ali, di sini berpindah menggunakan bot fiber miliknya setiap kali berlakunya banjir.

Hasrat murninya itu turut memudahkan pasukan penyelamat kerana dia yang juga penduduk kampung itu lebih arif dengan laluan di kampung berkenaan.

Mohd Hazwan Ahmad Fuzi, 29, berkata, bot itu dibelinya sejak tahun lalu dengan harga RM2,000 yang pada mulanya hanya untuk memancing ikan.

Namun katanya, kawasan itu kerap kali dilanda banjir setiap kali hujan lebat melebihi dua jam.

"Saya akan tolong pindahkan penduduk yang terperangkap dalam banjir ke tempat selamat hanya sukarela dan tidak meminta bayaran kerana yang penting selamatkan nyawa dan harta benda dulu.

"Kalau hujan lebat saja saya buat persediaan dan tolong mana-mana penduduk yang hampir dengan sungai kerana bimbang air akan naik tinggi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Mohd Hazwan, paras air banjir kali ini agak tinggi sekitar dua meter berbanding sebelum ini dan sudah lebih seminggu penduduk di kampung itu terjejas akan banjir.

Katanya,ada penduduk yang sudah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah manakala sebahagiannya berpindah ke rumah saudara berhampiran.

"Tapi ada juga yang minta saya tolong hantarkan ke rumah yang masih ditenggelami air untuk mengambil barangan atau dokumen penting selain hendak melihat keadaan rumah mereka. Saya tolong saja.

"Namun, saya perlu berhati-hati ketika mengemudi bot kerana paras air hampir sama dengan paras sungai selain bahaya yang kita tidak nampak seperti tunggul kayu atau bahagian dalam dan bimbang untuk turun sekiranya bot tersangkut," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, pihaknya mengalu-alukan bantuan daripada penduduk kampung dalam membantu memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir.

"Setakat ini, mangsa banjir di daerah ini masih kekal 137 orang dari 34 keluarga dari lima mukim yang terjejas.

"Paras air sudah surut sedikit namun pergerakan air Sungai Pendang masih laju dan hanya satu PPS di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah dibuka buat masa ini namun pemantauan masih dilakukan oleh anggota untuk memastikan keadaan di lokasi banjir selamat," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2021 @ 11:46am
d