Bola Sepak

Melaka United tempah slot suku akhir

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Melaka United (MU) mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan United 2-1 dalam aksi Kumpulan C di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Skuad Hang Tuah bermula garang menerusi percubaan Sony Norde pada minit ke-7 namun berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat Mohd Fitri Che Soh dan tuan rumah hampir mendahului lawan apabila tolakan Wan Zaharulnizam terkena tiang gol.

Asakan bertali arus Melaka akhirnya membuahkan hasil selepas hantaran Khairul Anwar Shahrudin mudah ditolak masuk Norde pada minit ke-25.

Namun pelawat tidak berputus dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Shuhei Fukai di penghujung babak pertama.

Babak kedua memperlihatkan anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan terus menggandakan asakan dan Adriano yang menerima hantaran K Kumahraan melebarkan jaringan pada minit ke-52 menerusi rembatan cantik ke kanan gawang Kelantan.

Kemenangan itu membolehkan Melaka United kekal di tangga teratas kumpulan C sekali gus layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Disiarkan pada: October 29, 2021 @ 11:30pm
d