mutakhir

Polis pantau pelancong di Pulau Tioman

Oleh Mohd Rafi Mamat

Rompin: Polis menjangkakan peningkatan dua kali ganda jumlah kemasukan pelancong ke Pulau Tioman pada minggu hadapan susulan cuti am dan hujung minggu.

Cuti sempena perayaan Deepavali pada 4 November dan diikuti cuti hujung minggu, Sabtu dan Ahad memberi peluang pelancong bercuti ke pulau ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, semakan dilakukan pihaknya mendapati kebanyakan hotel dan tempat penginapan di pulau peranginan berkenaan sudah mula menerima tempahan yang begitu menggalakkan.

Menurutnya, pelancong yang ingin ke Pulau Tioman perlu terlebih dahulu perlu menjalani ujian pengesanan

Covid-19 di jeti Teluk Gading yang dikendalikan oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rompin sebelum dibenarkan menaiki feri.

"Anggota polis kini ditempatkan di jeti berkenaan bagi mengawal keadaan selain memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pelancong dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP sepanjang berada di Pulau Tioman dan anggota polis akan sentiasa membuat pemantauan di tempat awam," katanya.

Bagi menampung kemasukan pelancong ke Pulau Tioman yang semakin bertambah, pengurusan perkhidmatan feri menambah jumlah perjalanan daripada sekali sehari kepada dua kali sehari.

Disiarkan pada: October 31, 2021 @ 9:53am
d