mutakhir

Agong, Permaisuri zahir takziah pemergian James Masing

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing awal pagi tadi.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada negeri Sarawak.

"Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negeri Sarawak," menurut kenyataan Istana Negara di laman Facebook.

Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh sejak 1983 itu meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching kira-kira pukul 7.05 pagi pada usia 72 tahun.

James Masing dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada bulan September lepas, kerana disahkan positif COVID-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Disiarkan pada: October 31, 2021 @ 4:41pm
d