mutakhir

Kedah rekod 723 mangsa banjir, PPS bertambah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jumlah mangsa banjir di lima daerah di Kedah meningkat kepada 723 orang membabitkan 194 keluarga, dengan tambahan tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berbanding sembilan sebelum ini.

Setakat 8 malam, empat PPS dibuka di Kota Setar dan masing-masing dua di Pendang, Kubang Pasu, Pokok Sena serta Baling.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, PPS baharu dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Wahab di Kota Setar yang menempatkan 24 mangsa, SK Tualang di Pokok Sena (9 mangsa) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di Kubang Pasu (13 mangsa).

"Mangsa banjir di tiga PPS di Kota Setar berjumlah 269 orang daripada 77 keluarga, manakala SK Darul Hikmah di daerah itu mencatat peningkatan mangsa kepada 106 orang (28 keluarga)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Pendang seramai 286 orang, meningkat lapan orang berbanding 278 orang pada tengah hari.

"Mangsa yang ditempatkan di PPS Surau Kampung Permatang Limau di Pokok Sena pula masih kekal seramai 25 mangsa daripada lapan keluarga," katanya.

Bagi Baling, keseluruhan mangsa banjir di dua PPS kekal 15 orang daripada lima keluarga, manakala Kubang Pasu mempunyai 106 mangsa daripada 29 keluarga.

Disiarkan pada: November 2, 2021 @ 10:56pm
d