mutakhir

Tidak dibenarkan berkumpul, berarak ketika penamaan calon

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang tempoh penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon yang diadakan di 28 lokasi yang ditetapkan.

"Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan ketika menyerahkan kertas penamaan calon.

"SPR berharap proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Ikmalrudin berkata, SPR meminta semua calon dan parti politik supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari

penamaan calon esok.

Katanya, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula dari jam 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 28 Pusat Penamaan Calon yang ditetapkan.

Beliau berkata, bakal calon dikehendaki mengisi dan membuat semakan awal terhadap borang pencalonan yang diisi serta membuat pembayaran deposit lebih awal dengan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

Disiarkan pada: November 7, 2021 @ 3:08pm
d