mutakhir

Polis teliti SOP PRN Melaka [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memastikan gerak kerja anggota dan pegawainya dapat dilaksanakan dengan baik.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau sudah melihat sepintas lalu SOP itu pagi tadi dan akan membincangkan perkara berkenaan lebih terperinci bersama Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, malam ini.

"SOP PRN Melaka yang terkini sudah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan saya pun baru sahaja sempat meneliti SOP berkenaan sepintas lalu pagi ini.

"InsyaAllah saya akan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, malam ini, untuk mendengar taklimat daripada ketua polis negeri bagi meneliti SOP itu.

"Itu penting bagi memastikan setiap panduan berkenaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin sepanjang tempoh PRN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Jumaat lalu, media melaporkan kira-kira 3,800 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan mengawal keselamatan dan kelancaran proses penamaan calon serta pengundian pada PRN Melaka.

Mazlan dipetik berkata, jumlah itu termasuk anggota dan pegawai bantuan daripada kontinjen polis negeri lain yang turut digerakkan untuk membantu Polis Melaka.

Disiarkan pada: November 8, 2021 @ 2:06pm
d