mutakhir

Pejuang nafi letak calon Bebas sebagai proksi

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Melaka: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak menyokong sesiapa pun calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, jauh sekali meletakkan calon proksi.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pihaknya mendapat maklumat ada pihak yang bertanding sebagai calon Bebas mengaitkan dengan parti dan dirinya.

"Sebelum ini sudah umum kami tidak akan turut serta pada PRN Melaka, bagaimanapun saya dapat tahu ada sesetengah pihak cuba kaitkan Pejuang dan saya dengan individu tertentu yang bertanding sebagai calon Bebas.

"Ingin ditegaskan sekali lagi, Pejuang dan saya tidak menyokong sesiapa calon pada PRN kali ini, jauh sekali meletak calon proksi," katanya dalam satu kenyataan di blog beliau.

Justeru, Dr Mahathir berharap dengan penjelasan itu tiada lagi sesiapa yang akan cuba kaitkan dirinya, mahupun Pejuang dengan mana-mana calon yang bertanding.

Pada PRN Melaka, seramai 22 calon Bebas tampil mempertaruhkan nasib mereka untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka yang ditandingi.

  • Lagi berita berkaitan PRN Melaka
  • Disiarkan pada: November 11, 2021 @ 5:09pm
    d