mutakhir

PRN Melaka: SOP ketat, BN sukar ukur sentimen pengundi

Oleh Ahmad Suhael Adnan

Jasin: Barisan Nasional (BN) berdepan kesukaran untuk mengukur sokongan rakyat secara tepat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang terlalu ketat.

Veteran Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, maklumat diperoleh daripada jentera parti di kebanyakan kawasan mendapati Barisan Nasional (BN) sukar membaca sentimen rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, antara kekangan dihadapi BN bagi menilai sokongan rakyat adalah larangan untuk calon bertanding dan jentera parti bertemu pengundi secara bersemuka.

"Sentimen, semangat dan komitmen jentera amat tinggi ketika ini dan saya fikir itu satu kelebihan besar buat BN pada pilihan raya kali ini.

"Bagaimanapun, sentimen rakyat masih agak sukar untuk kita dapatkan kerana kurang berjumpa pengundi secara bersemuka," katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Rim di sini, hari ini.

SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang calon bertanding dan jentera parti menjalankan sebarang aktiviti kempen secara bersemuka, sama ada berhimpun, ceramah, ziarah dari rumah ke rumah dan tinjauan mesra.

Bagaimanapun, Annuar yakin kekangan itu dapat diatasi berdasarkan kerja keras jentera parti di peringkat akar umbi, yang kebanyakannya sudah mengenali pengundi di kawasan masing-masing.

"Berdasarkan apa yang mereka maklumkan pada saya, keadaannya sangat baik dan harap momentum kempen dapat dikekalkan sehingga hari mengundi. Rata-rata sambutan terhadap BN sangat memberangsangkan," katanya.

Berhubung proses berkempen secara norma baharu, Annuar melihat kekangan yang dilalui semua parti bertanding dapat diatasi menerusi kempen secara dalam talian seperti di Facebook (FB), FB Live dan Twitter.

"Ini norma baharu yang mungkin lebih berkesan, berbanding cara lama. Ia tidak mustahil," katanya.

Ditanya mengenai cadangan Pakatan Harapan (PH) supaya dianjurkan debat antara calon Ketua Menteri Melaka, Annuar berpandangan perkara itu tidak sesuai dilaksanakan menerusi platform media rasmi kerajaan memandangkan pilihan raya itu hanya di Melaka.

Katanya, hasil perbincangan di peringkat kementerian mendapati debat seumpamanya belum sesuai dilaksanakan melalui saluran nasional, sebaliknya lebih wajar disiarkan menerusi portal atau saluran persendirian.

"Kita kena ambil kira selepas ini akan ada lagi PRN di negeri yang lebih besar dan jumlah calon lebih ramai, dan mungkin pilihan raya umum dalam masa akan datang.

"Kalau buat di Melaka, ia akan jadi satu 'precedent' (duluan), jadi perlu fikir mendalam kerana ada baik dan buruknya.

"Buat masa ini, kita bersetuju untuk RTM memberi pendedahan pengenalan calon secara saksama, sama ada bagi parti atau calon Bebas," katanya.

Terdahulu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu rakaman video mendakwa hanya calon Ketua Menteri PH, Adly Zahari yang menerima cabaran debat itu.

Presiden PKR itu mendakwa, calon Ketua Menteri BN, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menolak cadangan debat berkenaan, manakala calon Ketua Menteri Perikatan Nasional (PN) masih belum diumumkan.

Disiarkan pada: November 13, 2021 @ 7:56pm
d