agro

Tanam durian perlu ikut SOP

Oleh Nurul Husna Mahmud

Masih ramai pekebun durian mengamalkan kaedah konvensional dalam penanaman buah itu sekali gus menjadikan pendapatan semusim tidak sekata setiap tahun.

Malah ada pekebun merungut hasil dinikmati selang musim atau buah tidak menjadi kerana kelemahan dalam kaedah konvensional itu.

Menurut Pengarah Urusan Terra Tropika Agriculture Danial Ariff Ahmad Nordin, terdapat tiga kelemahan utama dikenal pasti membabitkan pekebun durian yang masih menggunakan kaedah konvensional.

Dalam sesi program Pemulihan Bagi Tanaman Durian-durian Terpilih di Kampung Batu 5, Bangi, Selangor baru-baru ini membabitkan lebih 45 pemilik kebun setempat, beliau menyatakan tiga perkara terbabit ialah ketiadaan prosedur standard operasi (SOP) bagi penjagaan pasca tuai, pembajaan tidak konsisten dan tidak tepat pada masanya serta tiada penjarangan buah bagi durian baka premium atau kahwin.

"Kebanyakan masalah utama pekebun durian kebelakangan ini adalah isu berkait harga baja dan racun yang mendadak naik sehingga memberi bebanan kepada pengusaha kebun durian secara kecil-kecilan sehinggalah peringkat komersial.

"Paling ketara ialah pada pekebun durian kecil kerana mereka ini mengusahakan tanaman durian secara konvensional dan hasilnya tidak seberapa.

"Jika mereka mampu menaikkan pengeluaran hasil bagi semusim, ia membantu meraih pendapatan sekali gus menyuntik kuasa kewangan terhadap penjagaan ladang lebih baik," katanya.

Katanya untuk sampai ke tahap pengeluaran hasil memberangsangkan, pekebun kecil perlulah memiliki SOP terutama dalam aspek penjagaan dan rawatan pasca tuai. Ini bertujuan membantu mengembalikan kesuburan pokok serta tanah.

"Ramai pemilik kebun kurang menitikberatkan penjagaan dan rawatan pokok selepas musim buah, sedangkan sedia maklum semua tenaga dan nutrien sudah 'dikerah' untuk hasilkan buah.

'Bagi memastikan kelangsungan pokok dalam menghasilkan buah setiap musim iaitu tiga musim dalam tempoh dua tahun (rekod terbaik), pekebun perlu ada SOP. Ia bermula dengan kerja merawat tanah dan serangan serangga perosak sehinggalah ke aspek pembajaan," katanya.

Beliau turut memaklumkan SOP tanaman moden seperti penanaman 85 peratus pokok durian bernilai 'tinggi' sementara 15 peratus lain-lain boleh menggandakan pendapatan pemilik dusun itu sendiri.

Selain itu kata Danial Ariff, pemilik dusun durian juga perlu konsisten dalam pembajaan selain tepat pada masanya.

"Selepas masukkan racun kulat, dolomit (mineral bagi mengembalikan kesuburan tanah atau pH tanah) dan baja organik, kaedah pembajaan yang betul disusuli dengan rutin penjagaan konsisten dan tepat pada masanya sangatlah perlu.

"Ini dapat memulih kesuburan pokok terutama ketika musim panas, baja digunakan mengandungi potassium tinggi. Biasanya disarankan penggunaan baja 12:12:17 atau 13:13:21 iaitu merujuk kepada nisbah nitrogen, kalium dan fosfat.

"Impak daripada aktiviti pembajaan yang konsisten dan tepat pada masanya, pemilik berkemungkinan dapat merasa buah di luar musim. Contohnya, pekebun musang king di Raub, Pahang dapat mengeluarkan buah dari ladang mereka pada November dan Disember," katanya.

Kesilapan ketiga yang dilakukan dalam kalangan pekebun durian kecil atau kaedah konvensional ialah tiada aktiviti penjarangan buah untuk kualiti durian premium.

Kata Danial Ariff, penjarangan penting dalam amalan durian kahwin atau durian premium bagi memastikan penghasilan kualiti atau gred A.

"Kesilapan untuk tanaman pokok durian kahwin ialah 'sayang' hendak pilih buah. Maksud saya jika pokok itu hasilkan 70 biji sepokok, pekebun akan buang 20 biji untuk hasilkan 50 buah berkualiti, gred A.

"Proses dipanggil penjarangan buah biasanya dilakukan apabila mendapati bentuk tidak sempurna atau saiz tidak mencapai besar yang sepatutnya," katanya.

Sementara itu pemilik dusun di Kampung Batu 5, Mohd Tumirin Yatim, 63, mengakui beliau antara pengusaha dusun konvensional apabila mewarisi daripada orang tuanya.

"Usia pokok durian rata-rata melebihi 40 tahun berdasarkan usia orang tua mula mengusahakan dusun. Jadi, apa yang dilakukan orang tua dahulu kita hanya mengikut sahaja. Mereka menggunakan baja semula jadi iaitu daripada najis (tinja) ternakan seperti lembu, kambing dan ayam.

"Tiada SOP tertentu, cumanya apabila sampai waktu membaja iaitu menjelang musim durian biasanya pada Jun, bermakna pada Mac sudah kena mulakan kerja tabur baja.

"Cuma dengan pendedahan dalam program Pemulihan Tanaman Durian, banyak ilmu baharu terutama jenis baja dan kaedah terbaik untuk merawat pokok dan tanah diperkenalkan," katanya.

Antara yang menarik kata Mohd Tumirin ialah menyuntik baja dalam lubang khas yang dibuat pada akar utama dan juga teknik tanaman moden berbeza dengan kaedah lama.

Selain Danial Ariff, tiga penyampai lain adalah wakil Perlis Dolomite, Mohd Azizi Irwan Sukiman, Pengurus Felcra Plantations Sareeda Jusoh dan Wakil Kitosen Plus Mat Nor dalam program anjuran Surau Ensaniah Kampung Batu 5.

Disiarkan pada: November 14, 2021 @ 6:30am
d