utama

2 sindiket dadah tumpas [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Polis menumpaskan dua sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan penahanan lima individu termasuk sepasang suami isteri dalam tiga serbuan di daerah ini dan Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki tempatan dan warga Indonesia berusia 39 serta 49 tahun ditahan berhampiran kedai makan di Kota Tinggi, kira-kira jam 1.50 tengah hari, 9 November lalu.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV, pihaknya menemukan 14.5 kilogram (kg) ganja bernilai RM36,392.50 dalam kereta itu.

"Modus operandi sindiket yang beroperasi sejak awal Julai lalu adalah dengan menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut.

"Keseluruhan rampasan dadah serta sitaan berjumlah RM162,793.50, selain kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 10 hingga 16 November ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Menurutnya, dalam operasi berasingan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor turut membuat dua serbuan di sekitar Johor Bahru yang kemudiannya membawa kepada penahanan tiga individu termasuk suami isteri.

Ayob Khan berkata, dalam serbuan antara jam 9 pagi hingga 2 petang, 10 November lalu itu, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 23 tahun sebelum membuat tangkapan susulan ke atas sepasang suami isteri berusia 59 dan 53 tahun.

"Modus operandi sindiket yang beroperasi sejak awal Ogos lalu adalah menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal dijadikan sebagai stor pembungkusan dadah untuk kegiatan 'private party' dan pusat hiburan sekitar Johor Bahru.

"Jumlah nilai rampasan dadah bernilai RM1.07 juta, manakala keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan adalah RM1.14 juta.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 11 hingga 17 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2021 @ 2:29pm
d