Eropah

Austria kenakan lockdown untuk individu belum divaksin

Oleh AFP

Vienna: Austria mengenakan sekatan pergerakan (lockdown) di seluruh negara kepada mereka yang tidak divaksin dan belum pulih daripada Covid-19 bermula Isnin .

Keputusan itu diumumkan oleh Canselor Austria Alexander Schallenberg berkata ketika negara ahli Kesatuan Eropah (EU) itu berusaha memerangi peningkatan kes Covid-19.

Kira-kira 65 peratus daripada hampir sembilan juta penduduk Austria diberi vaksin, ia di bawah purata EU iaitu sebanyak 67 peratus.

"Keadaan ini serius. Kami tidak mengambil keputusan ini dengan mudah namun ia perlu.

"Langkah ini bertujuan mengurangkan pertemuan antara mereka yang sudah dan belum divaksin," kata Schallenberg kepada pemberita.

Menerusi sekatan dikenakan itu, individu berumur 12 tahun ke atas yang tidak divaksin atau baru pulih tidak akan dibenarkan keluar rumah kecuali atas sebab seperti membeli bekalan keperluan, bersenam atau mendapatkan rawatan perubatan.

Ia adalah kesinambungan langkah baharu diambil seminggu lalu iaitu larangan ke beberapa tempat termasuk restoran, hotel, teater dan lif ski kepada individu belum divaksin.

Disiarkan pada: November 15, 2021 @ 9:54am
d