mutakhir

Lelaki tipu jual PS5 ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Individu yang memperdaya hampir 150 pembeli pratempahan konsol permainan PlayStation 5 (PS5) sehingga kerugian kira-kira RM500,000 sudah ditahan polis kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, lelaki berusia 23 itu ditahan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes penipuan berkenaan.

"Saya sahkan, suspek seorang lelaki berusia 23 tahun berjaya ditahan polis di Pulau Pinang," katanya.

Difahamkan suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut jam 12 tengah hari.

Polis dilaporkan turut merampas kad sim, kad bank dan telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Metro Ahad sebelum ini melaporkan hampir 150 pembeli pratempahan konsol permainan PlayStation 5 (PS5) kerugian kira-kira RM500,000 selepas diperdaya individu yang membina reputasi sebagai 'penjual dipercayai' atau trusted seller sebelum melarikan diri bersama wang berkenaan.

Pada masa sama, penjual terbabit turut memiliki syarikat didaftarkan atas namanya bagi menambah keyakinan pelanggan.

Semakan terhadap nombor daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dikaitkan dengan penjual berkenaan mendapati sijil daftar perniagaan itu dimiliki oleh seorang lelaki berusia 23 tahun dengan alamat daftar di Pulau Pinang.

Disiarkan pada: November 15, 2021 @ 2:41pm
d