utama

BNM beku akaun, rampas wang keseluruhan RM118.7 juta

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu 22 premis i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan syarikat sekutunya di sekitar ibu kota dan Selangor kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.

Operasi bersepadu yang dijalankan semalam turut merampas dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan bersama ini.

BNM dalam kenyataan berkata, sebanyak 45 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta dirampas.

"Tindakan diambil berikutan kesalahan dilakukan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Tindakan penguatkuasaan ini diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan BNM sebagai agensi peneraju bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan CyberSecurity Malaysia," katanya.

Menurutnya, orang ramai diingatkan mana-mana individu yang menerima deposit tanpa lesen dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan.

"Orang ramai juga diingatkan hanya meletakkan deposit atau melabur dengan pihak yang berlesen atau berdaftar oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

"BNM dan SC menggesa orang ramai supaya berwaspada apabila melabur dengan syarikat tempatan atau asing yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 11:32am
d