mutakhir

1,377 stesen pemancar di Kedah dinaik taraf

Oleh BERNAMA

Alor Setar: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini diberitahu bahawa sebanyak 1,377 stesen pemancar di struktur komunikasi sedia ada telah dinaik taraf kepada teknologi 4G menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) setakat September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah Romani Wan Salin berkata, jumlah berkenaan adalah daripada keseluruhan 1,612 stesen pemancar sedia ada yang akan dinaik taraf di negeri ini.

Selain itu, beliau berkata, menara telekomunikasi baharu dengan teknologi 4G telah dibina di 45 daripada 134 lokasi baharu yang dirancang untuk pembinaan menara berkenaan.

"Tumpuan diberikan kepada pembinaan tapak baharu, menaik taraf stesen pemancar sedia ada kepada teknologi 4G serta menyediakan capaian gentian optik di premis sebagai persediaan untuk negara kita ini beralih kepada teknologi 5G," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Tan Kok Yew (DAP-Derga) yang ingin tahu tindakan segera kerajaan negeri untuk meningkatkan capaian internet lebih baik di seluruh negeri.

Romani berkata, sejumlah 49,998 premis di negeri ini juga telah siap dilaksanakan dengan sambungan gentian optik daripada jumlah keseluruhan premis 76,474 buah yang akan disediakan akses kepada perkhidmatan berkelajuan gigabit.

Menurutnya, kerajaan negeri dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri memberikan kerjasama dan komitmen tinggi untuk membantu pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar penyediaan infrastruktur digital dapat dimudah cara serta mengikut piawaian tertentu bagi memastikan aspirasi MyDigital tercapai.

Mengenai status semasa Projek Demonstrasi G5 (5GDP) di Langkawi, Romani berkata tempoh pelaksanaan 5GDP di Langkawi telah tamat pada 30 Jun lepas, namun demonstrasi kes kegunaan Solusi Bandar Pintar untuk Pemantauan Keselamatan di Langkawi yang disediakan dan diuruskan pihak Celcom sahaja masih diteruskan.

"Bagi negeri Kedah, pihak DNB (Digital Nasional Berhad) menyasarkan ketersediaan liputan umum 5G pada 2023, tetapi ketersediaan perkhidmatan 5G bagi kegunaan perusahaan boleh diawalkan sekiranya terdapat permintaan bagi kes kegunaan.

"Jika dibandingkan dengan pelaksanaan 3G dan 4G dahulu, syarikat-syarikat telekomunikasi mengambil (masa) hampir lapan tahun untuk mencapai tahap liputan 80 peratus," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 2:02pm
d