mutakhir

Wawa mengaku tidak bersalah aibkan polis

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, terhadap tuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) pada 1 Jun lalu.

Tertuduh, Wawa atau nama sebenar, Nur Jawaheer Ismail, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Mengikut pertuduhan, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5.30 petang di SJR di Jalan Kepayan, di sini.

Wawa didakwa mengaibkan kehormatan Koperal Maslin Samih dengan berkata; 'Nasib kau ni lelaki, kalau kau perempuan sudah lama aku kasi telanjang kau, aku rungkup kau'.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, DK Afiqah Alya dan Adibah Saiful manakala tertuduh diwakili peguam Luke Ressa Balang.

Kejadian berkenaan tular di media sosial sehingga menerima pelbagai reaksi termasuk kecaman netizen walaupun tidak diketahui punca sebenar kejadian berkenaan.

Tertuduh ditahan polis pada 17 Jun lalu sebelum direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.

Polis turut merampas pakaian yang dipakai wanita itu ketika kejadian bersama telefon bimbit, kad pendaftaran kereta dan kunci kenderaan.

Disiarkan pada: November 18, 2021 @ 11:47am
d