mutakhir

Tiada penjualan telur penyu di Terengganu mulai Jun 2022 [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Berkuat kuasa Jun tahun depan, kerajaan negeri akan memastikan tiada penjualan telur penyu di pasar awam dan restoran di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, larangan penjualan telur penyu antara kaedah dilakukan kerajaan bagi melindungi dan mengekalkan kepupusan semua spesies penyu termasuk tuntung laut.

Beliau berkata, individu termasuk peniaga didapati bersalah kerana menjual telur penyu boleh dikenakan tindakan termasuk denda antara RM50,000 hingga RM250,000, berbanding hanya RM3,000 sebelum enakmen itu dipinda.

"Pindaan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021 diluluskan selepas dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Keempat Belas, hari ini.

"Larangan penjualan telur penyu akan berkuat kuasa Jun tahun depan," katanya kepada media pada Sidang Dun Terengganu, hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi berkata, pindaan enakmen itu dilakukan bagi membolehkan pengharaman penjualan semua spesies penyu dapat dikuatkuasakan.

Katanya, pengharaman penjualan pelbagai spesies telur penyu termasuk penyu belimbing tidak mendatangkan kesan kepada peniaga berikutan aktiviti itu dianggap sebagai pendapatan sampingan kepada peniaga.

"Selain pengharaman penjualan telur penyu, enakmen itu turut mewajibkan semua bot pelancong memasang pelindung kipas bagi mengelakkan kematian penyu.

"Semua bot membawa pelancong melihat penyu termasuk di Pulau Redang perlu ada pelindung kipas, berikutan terdapat kes penyu mati terkena kipas bot," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2021 @ 4:36pm
d